Tuesday, February 2, 2010

Riadah ke Pulau Payar, 30 Jan 2010

Program riadah secara Ad-Hoc ini sebagai memenuhi jemputan pihak Kelab Sukan kilang simen Lafarge untuk sama-sama menikmati keindahan Taman Laut Pulau Payar. Seramai 30 orang berjaya dikumpulkan di kalangan ahli BIAK untuk turut serta program ini walaupun dalam masa agak singkat. Trip bermula dengan menaiki feri di Jeti Pelancongan dan sampai di Pulau Payar sekitar jam 10:30 pagi. Ternyata kanak-kanak tidak melepaskan peluang ini untuk mandi-manda di perairan yang sangat indah dan jernih, apatah lagi bermain-main dengan ikan-ikan yang jinak dan berwarna-warni. Aktiviti snorkling sememangnya menjadi aktiviti utama golongan dewasa. Kegembiraan jelas pada setiap raut wajah mereka yang turut serta. Program berkahir pada jam 4 :00 petang dan sampai ke Pulau Langkawi pada jam 5 :00 petang dengan selamat

Majlis Perpisahan dengan Kept Kamaruzzaman (Navy), 20 Jan 2010

Adat bertemu akan ada perpisahannya. Begitu juga dengan Penasihat BIAK, Kept Kamaruzzaman yang terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur. Beliau yang bertugas sebagai Ketua Staff di Pengkalan Tentera Laut Langkawi selama hampir 10 tahun terpaksa berpindah ke MINDEF Kuala Lumpur kerana mendapat tugasan baru di sana. Majlis perpisahan yang diadakan secara tertutup ini telah diadakan di lokasi indah di gigi air Jeti Pelancongan. Dalam ucapan beliau, Kapten Kamaruzzaman mengimbas kembali sejarah awal beliau sampai ke Langkawi dan ikatan setiakawan ahli BIAK yang banyak membantu beliau membina kehidupan baru di Langkawi ini. Beliau juga memberikan sedikit nasihat dan panduan kepada BIAK untuk terus bertapak dan maju di bumi Langkawi ini. Selamat maju jaya diucapkan kepada Kept Kamaruzzaman dan keluarga. Semoga sentiasa berjaya walau dimana berada

Bubur Asyura , 16 Jan 2010 @ Masjid Al-Hana

Program BIAK untuk tahun 2010 ini seperti biasa dimulakan dengan program memasak Bubur Asyura di lokasi yang sama. Sebanyak 4 kawah disediakan pada kali ini dimana 1 kawah memasak bubur asyure Kedah dan 3 kawah menyediakan bubur asyura ala Kelantan dengan rempah ratus didatangkan khas dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Ramai ahli BIAK yang hadir seawal pagi dengan penyediaan khemah dan alatan memasak sambil penyediaan bahan mentah disediakan oleh kaum hawa. Suasana yang sentiasa meriah membuatkan mereka yang hadir tidak terasa penat mengacau asyura. Pelbagai juadah turut disediakan untuk menjamu semua yang datang membantu. Kehadiran YB Adun Ayer Hangat telah memeriahkan lagi program tersebut. Pelekat kenderaan BIAK turut dijual kepada ahli. Semoga program BIAK sentiasa berjaya dan sentiasa mendapat sokongan semua pihak

Majlis Sambutan Aidilfitri, 27 Oct 2009, Kompleks Pekan Rabu

Program hari raya kali ini agak menarik kerana diadakan di Kompleks Pekan Rabu yang baru sahaja siapa dibina dan diduduki. Ternyata ramai yang dating awal dengan berpakaian serba baru dan penuh berwarna-warni. Wajah-wajah keriangan terserlah di setiap wajah yang hadir. Aturcara yang dikelolakan oleh Deejay agak menarik dan menghiburkan. Ramai muka-muka baru datang menyerikan majlis. Juadah yang banyak dan sedap disediakan sertaa ada yang membawa kueh raya sendiri. Ternyata setiap majlis BIAK dijayakan oleh setiap ahli dengan penuh kegembiraan dan keceriaan. Hubungan silaturrahim yang sentiasa erat terjalin di kalangan ahli BIAK terserlah walaupun agak jarang berjumpa di kala tiada program dibuat

Thursday, May 28, 2009

Majlis Berbuka Puasa, 10 Sep 2009, Kompleks Kemas Kuah

Program ini telah diadakan di perkarangan Kompleks Kemas Kuah. Kehadiran ahli dan keluarga sangat menggalakkan walaupun program ini bertindih dengan beberapa program jabatan-jabatan di Langkawi. Program bermula dengan sembahyang berjemaah di surau kompleks Kemas di ikuti berbuka puasa beramai-ramai. Hidangan utama kali ini sudah pasti nasi kerabu beserta dengan ulam dan lauk yg disediakan secara bergotong royong di kalangan ahli. Kueh-mueh yang dibawa sendiri oleh setiap keluarga juga lebih memeriahkan majlis. Suasana berbuka puasa BIAK ini penuh muhibbah dan setiap yang datang pulang dengan kepuasan kerana dapat berbuka puasa bersama ala kelantan

Sunday, May 24, 2009

Hari Keluarga BIAK, 23 Mei 2009







Bertempat di Langkasuka Resort Padang Mat Sirat, BIAK sekali lagi melakarkan sejarah kerana berjaya mengadakan program tahunan Hari Kelurga dengan jayanya di luar Pekan Kuah. Lokasi resort yang dipilih adalah amat sesuai dan sambutan yang diterima juga sangat memberangsangkan. Program bermula dengan acara melukis untuk kategori kanak-kanak diikuti dengan beberapa permainan untuk golongan dewasa dan diselang-selikan dengan kategori kanak-kanak, termasuk membina istana pasir, makan buah epal, semakin jauh semakin sayang, bola beracun berirama, isi pasir dalam botol, jarum emas dan lain lagi. Walaupun kadar kehadiran pada sebelah pagi agak kurang ramai, ternyata setiap acara yang disusun dapat dihabiskan sehinggakan kehadiran warga yang ramai di waktu tengahari dapat diseimbangkan dengan program awal yang telah dijalankan. Penjualan baju T dan stiker kenderaan BIAK turut mendapat sambutan. Peraduan teka kristal turut mendapat perhatian warga. Ternyata pemilihan lokasi resort kali ini tidak dilepaskan oleh anak-anak yang begitu seronok bermain kolam sambil ditemani ibubapa. Jamuan makan tengahari oleh pihak hotel turut membangkitkan suasana program. Teryata mereka yang hadir gembira dengan apa yang dilaksanakan, apatah lagi dihiburkan pula oleh Kumpulan Dikir Alunan Biru dan pulang dengan hadiah yang banyak termasuk hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama penginapan di Green Hill Resort yang dimenangi oleh keluarga Nik Ahmad Shukri. Sebagai kesinambungan aktiviti tahunan, cenderahati istimewa turut diberikan kepada anak-anak warga BIAK yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tahun lepas. Tanda kepuasan jelas nampak di raut wajah setiap warga yang hadir. Semoga program seperti akan terus mendapat sambutan dari kalangan warga BIAK di masa hadapan.

Wednesday, May 20, 2009

Pertandingan Bowling BIAK, 19 Mei 2009

Buat julung kalinya BIAK Langkawi telah berjaya menganjurkan satu pertandingn Bowling. Pertandingan ini yang bertujuan meningkatkan integrasi dan hubungan dalam kalangan warga keluarga BIAK telah berjaya mencapai matlamat tersebut dengan sambutan yang di luar dugaan. Seramai 42 orang peserta telah mengambil bahagian. Pertandingan dijalankan secara 3 berkumpulan dengan 4 permainan. Pelbagai skil dan gaya tersendiri telah dipamirkan oleh peserta yang mengambil bahagian. Tahniah kepada semua warga yang telah menang. Pertandingan ini bakal dijalankan dari masa ke masa kerana permintaan yang diterima amat memberangsangkan.

Friday, February 27, 2009

Farewell Din Merin, 26 Februari 2009

Pada tanggal 26 Februari 2009, BIAK Langkawi telah kehilangan seorang lagi warga yang selama ini sangat aktif dalam memberikan sumbangan tenaga dan masa terhadap segala program BIAK. Beliau adalah Abang Din Merin kito yang terpaksa berpindah ke lokasi kerja baru di Kuala Terengganu. Satu majlis perpisahan yang ringkas sempat diadakan di perkarangan Twin Peak Hotel, Kuah. Semoga beliau dan keluarga sentiasa maju jaya di lokasi baru dan sentiasa dalam ingatan kita semua

Sunday, January 18, 2009

Program Asyura, 18 Januari 2009

Pada awal tahun nie, BIAK sekali lagi berjaya menganjurkan program tahunan Memasak Bubur Asyura versi Kelantan. Program ini sememangnya mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua warga BIAK. Ramai juga muka-muka baru hadir, lebih memeriahkan sambutan yang berlangsung dari pukul 8:00 pagi hingga 3:00 petang. Sebanyak 6 kawah asyura berjaya dimasak diketuai oleh Abg Razak IPD dan Tuan Asmadi Presiden sendiri. Asyura yang dah dimasak kemudiannya diagihkan dikalangan warga BIAK dan warga setempat. Ternyata keenakan dan keunikan bubur syura Kelantan semakin dikenali dikalangan warga Langkawi. Semoga program seperti ini sentiasa mendapat sambutan dari warga BIAK dan setempat di masa akan datang.

Sunday, November 9, 2008

Sambutan Hari Raya Aidilfitri BIAK, 25 Oktober 2008

Sekali lagi, macam sekalo BIAK mengadakan majlis sambutan Aidilfitri untuk seluruh warga BIAK di Langkawi. Majlis tersebut telah diadakan di Jeti Pelancongan Kuah bermula 11:00 pagi hingga 3:00 petang. Warga Kelate pakat pakai lawa-lawa aritu, berduyun-duyun menghadiri majlis. Sambutan memang best.. kehadiran tak putus-putus walaupun bertidih dengan program2 Aidilfitri lain di kawasan Kuah nie. Majlis diserikan dengan ucapan Presiden, cabutan bertuah, acara seloka dan nyanyian dari kalangan warga BIAK sendiri. Ramai muka baru dilihat hadir telah memeriahkan lagi sambutan. Kesempatan diambil untuk berkenal-kenalan, bertukar-tukar cerita, bertukar nombor telefon dan lain2. Macam sekalo jugok, geng budak-budak lah yang paling meriah. Nya pakat main berambat kot dalam dewan tu, padahal baru kenal jah. Majlis turut diselitkan dengan kutipan derma untuk Abg Zayidi yang baru disahkan mengidap kanser. Warga Kelate yang sememangnya prihatin telah memberikan sumbangan untuk meringankan beban keluarga Abg Zayidi dalam melalui proses rawatan. Kutipan derma yang diiringi nyanyian lagu Wajah (lagu latar Bersamamu TV3) sungguh menyayat hati hati seluruh warga, apatah lagi menatap wajah sedih Abg Zayidi hari tu. Apa pun, terima kasih kpd Abg Zayidi kerana sudi hadir walaupun sedang sakit. Semoga Abg Zayidi cepat sembuh dan kembali bersama kita di BIAK Langkawi. Semoga acara tahunan ini akan terus mendapat sambutan dan menjadi wadah permuafakatan warga BIAK di Langkawi.

Majlis Berbuka Puasa BIAK, 11 September 2008

Satu program berbuka puasa telah diadakan pada 11 Sep08, bertempat di Kompleks KEMAS Langkawi. Program yang agak istimewa ini bermula pada pukul 6:00 petang. Setelah semua berkumpul, sedikit aluan dan penerangan berkenaan majlsi dsampaikan oleh Presiden kito. Ramai muka baru turut hadir ke majlis ini membuatkan majlis lebih ceria dan bermakna. Majlis diikuti dengan berbuka puasa secara ramai-ramai. Meriah sungguh warga kito semasa berbuka nie. Seterusnya sedikit tazkirah untuk hadiran selepas solat maghrib berjemaah. Kemuncak majlis ialah solat Isyak dan Terawaih berjemaah oleh semua warga BIAK yang hadir. Program tamat pada pukul 11:00 malam. Sungguh unik program kali ini, menampakan kemuafakatan warga kita walau dimana berada.

Wednesday, May 14, 2008

Program Motivasi UPSR (Matematik), 13 Mei 2008

Biro Pendidikan telah berjaya menganjurkan satu program motivasi pada jam 8:30 malam, 13hb Mei 2008, bertempat di Bilik Mesyuarat AVON, Kuah. Program yang pertama kali seumpamanya dianjurkan oleh BIAK ini telah mendapat sambutan yang diluar dugaan walaupun ruang masa yang agak bertindih dengan minggu peperiksaan pelajar. Program motivasi ini dikendalikan oleh seorang tokoh guru yang diiktiraf sebagai Juara Guru Inovatif Kelantan 2003, iaitu Cikgu Fauzi Che Mood. Para pelajar didedahkan dengan kaedah pengiraan sifir terkini untuk Matematik disamping kata-kata peransang untuk lebih berjaya di dalam peperiksaan khususnya UPSR. Ternyata anak-anak BIAK bersemangat mengikuti program dan menampakkan perubahan yang sangat positif berdasarkan keaktifan dan kecekapan menjawab latihan yang diberikan. Semoga kejayaan menganjurkan program ini menjadi pemangkin kepada banyak lagi perancangan program-program ilmiah lain masa hadapan

Friday, May 2, 2008

Sambutan Hari Keluarga pada 1hb Mei 2008

Bersempena dengan cuti Hari Pekerja, BIAK telah mengambil kesempatan mengadakan Hari Keluarga BIAK. Program ini bertempat di perkarangan Water Front Dataran Lang. Seperti biasa program kali ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dari kalangan ahli BIAK. Ramai muka baru turut memeriahkan program tersebut. Kanak-kanak antara yang paling gembira kerana dapat bertanding dalam acara sukaneka yang dikendalikan oleh Biro Sukan dan semua orang dapat menang hadiah. Bermula dengan acara mewarna hinggalah ke acara sukaneka, kanak-kanak tidak melepaskan peluang mengambil bahagian. Para ibubapa turut menceriakan acara sukaneka termasuklah acara kukus kelapa menggunakan alat tradisional yang dipanggil ‘korang kayu’. Acara “Tiru Macam Saya” yang dikendalikan oleh Sarjan Kamarul begitu mencuit hati. Di samping itu, BIAK turut menggunakan ruang masa tersebut untuk mengiktiraf anak-anak ahli BIAK yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Ternyata anak-anak BIAK hebat-hebat belaka dan membanggakan semua pihak. Hujan gerimis disebelah petang tidak menganggu kerancakan acara termasuk acara teka biji kristal dan cabutan bertuah. Jualan produk BIAK seperti Baju T, Topi, CD aktiviti 2007 dan CD Dikir Alunan Biru turut mendapat sambutan hangat. Tahniah dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program kali ini

Sunday, April 13, 2008

Persembahan Dikir Barat Sempena Pesta Air Nasional, 5hb April 2008

Pada 5hb April 2008, pasukan dikir barat kita, Alunan Biru telah dipelawa utuk membuat satu persembahan selama 1 jam di tapak sambutan Pesta Air Nasional di Pantai Cenang. Persembahan bermula jam 8:00malam mendapat sambutan yang amat mengkagumkan. Malah ada antara para penonton turut sama bertepuk tangan mengikut tarian pasukan kita. Para pendikir kita tampil bergaya dengan pakaian baru serta semangat tinggi telah berjaya menghiburkan semua penonton yang hadir pada malam tersebut. Malah pihak penganjur turut melahirkan rasa kagum dan ucapan syabas mereka dengan persembahan unik Alunan Biru.

Sambutan Maulud Nabi dan BBQ di Delta Motel , 21hb Mac 2008

Kumpulan kita mengorak langkah dengan menganjurkan pula majlis sambutan maulud nabi. Kali ini lokasi di sebelah Pantai Cenang dipilih iaitu Delta Motel. Majlis bermula pada pukul 5:00 petang. Ramai dikalangan warga kita yang turut mengambil peluang bercuti dengan menempah beberapa bilik disamping 2 bilik khas tempahan persatuan bagi kegunaan umum ahli. Majlis dimulakan dengan pendaftaran dan sembahyang Asar berjemaah. Sambil acara di surau berjalan lancar, anak-anak dikumpulkan bersama untuk acara kanak-kanak dengan fasilitator Kak Ita. Seterusnya disusuli dengan Kuliah Petang oleh penasihat kita, Ir Amaran. Sambutan maulud diteruskan dengan bacaan selawat maulud versi kelantan secara beramai-ramai. Majlis turut disulami dengan nyanyian berzanji oleh Sarjan Kamarulzaman. Suasana maulud versi kelantan amat terasa ditambah pula dengan pembahagian bunga rampai sepanjang acara. Selesai acara di surau motel, program BBQ pula diteruskan sampai ke malam. Sebelah malam diceriakan juga dengan acara cabutan bertuah dan acara selingan pengacara. Syabas kepada Biro Kebajikan serta Biro Wanita kerana berjaya menganjurkan program ini